TAUBATNYA ABU HURAIRAH R.A
Dari Abu Hurairah, beliau berkata, “Pada suatu malam setelah solat Isya
saya keluar. Tiba-tiba di hadapanku ada seorang wanita bercadar yang
sedang berdiri di tengah jalan, seraya berkata, “Wahai Abu Hurairah!
Sesungguhnya aku telah melakukan perbuatan dosa besar. Apakah masih ada
kesempatan bagiku untuk bertaubat?” Lalu saya tanya wanita itu, “Apakah
dosamu itu?” Dia menjawab, “Aku telah berzina dan membunuh anakku dari
hasil zina itu.” Kukatakan padanya, “Kau telah binasakan dirimu dan
telah binasakan orang lain. Demi Allah, tidak ada kesempatan bertaubat
bagimu.” Mendengar jawabanku, wanitu itu menjerit menangis
sekuat-kuatnya dan jatuh pengsan. Setelah siuman dia pun lantas pergi.
Aku berkata di dalam hati, “Aku berfatwa, padahal Rasulullah Shollallahu
Alaihi Wassalam ada ditengah-tengah kami?”
Pada pagi harinya aku menemui Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam dan
berkata, “Wahai Rasulullah! Malam malam ada seorang wanita meminta
fatwa kepadaku berkenaan dengan ini…. dan ini….” Setelah mendengar
penjelasan aku, Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam bersabda, “Innaa
lillahi wa inna ilahi raajiun! Demi Allah, celakalah engkau dan telah
mencelakakan orang lain. Tidakkah kau ingat ayat ini : “Dan
orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain beserta ALLAH dan tidak
membunuh jiwa yang diharamkan ALLAH (membunuhnya) kecuali dengan
(alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan
demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), (yakni) akan
dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal
dalam azab itu, dalam keadaan terhina, kecuali orang-orang yang
bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh; maka kejahatan mereka
diganti ALLAH dengan kebajikan. Dan adalah ALLAH Maha Pengampun lagi
Maha Penyayang. [Surah Al-Furqaan:68-70]
Maka aku keluar dari sisi Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam dan
berlari menyusuri jalan Madinah, sambil bertanya-tanya, “Siapakah yang
mampu menunjukkan aku kepada seorang wanita yang meminta fatwa kepadaku
tentang begini dan begini malam tadi?” Sementara anak-anak bersorak,
“Abu Hurairah sudah gila!” Hingga menjelang larut malam, baru aku
menemuinya di tempat itu.
Maka kuberitahukan segera pada wanita itu seperti apa yang dikatakan
Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam bahawa dia boleh bertaubat.
Wanita itu kembali menjerit kegirangan seraya berkata, “Kebun yang
kumiliki akan kusedekahkan kepada orang-orang miskin kerana dosaku.”
ALLAHU ALLAH…..ALLAH.
Di mana pula iman kita yang berwenang-wenang mengeluarkan hukum atas
berita yang tiada kesahihannya. Paling mudah, ketika kita ditanyai
sesuatu hukum atau kekeliruan daripada kalangan ahli keluarga,sahabat
handai atau sesiapa sahaja, maka dengan penuh kepura-puraan kita
menjawabnya bagai seorang ahli ilmu. Ya ALLAH…tidak takutkah kita
sebagai takutnya sahabat Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam yakni
Abu Hurairah Radhiallahu anhu?
Belum lagi hal terkait politik. Ya, tidak salah menegakkan syariat
Islam. Tidak sesekali salah kita bersinsing lengan menjahanamkan
sekularisme, nasioanalisme dan angkatan kuffarnya. Cuma menjadi salah
apabila kita terlalu cepat menghukum mereka seteru politik kita daripada
mendoakan mereka. Ia salah andai kita juga turut sama menabur “fitnah atau rasa, sangka dan mungkin”
ke atas mereka. Apa beza kita dan mereka? ALLAHU ALLAH. Dan tidak lepas
tulisan ini juga akan dihukum nilai oleh mereka yang tidak berpuas
hati. Teruskan dengan hukuman, tetapi bacalah demi kecintaan terhadap
umat Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam.
Kita memulai jawaban kita dengan kata : “…saya rasa” , “uh…mudah
sahaja hukumnya..” , “seingat sayalah…” , “dahulu guru/ustaz saya ada
ajar lebih kurang begini….” , “..tak silap, saya ada mendengar daripada
rancangan televisyen… ”. Maka ketahuilah, inilah permulaan kepada petaka
dahsyat. Sebagaimana firman ALLAH Subhanahu Wa Taala :
“Barangsiapa membawa amal yang baik, maka baginya balasan sepuluh kali lipat
amalnya; dan barangsiapa yang membawa perbuatan jahat, maka dia tidak diberi
pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya sedang mereka sedikit pun
tidak dianiaya.”
[An-An’am:160]
Apa agaknya jumlah saham kita atas jawaban “rasa-rasa” atau
“agak-agak” yang kita lontarkan kepada mereka yang bertanya. Sedangkan
jawaban yang diberi oleh kita mengandungi cela lagi tidak bermanfaat
kepada yang bertanya. Lalu, mereka mengamalkan saranan kita sedangkan ia
adalah satu dosa disisi ALLAH Subhanahu Wa Taala Yang Maha Mulia.
Sebagaimana satu puak yang tiada sanad ilmu dengan bermudah-mudahan
mendakwa diri sebagai seorang Ustaz atau pro-taz juga mungkin
“Pilot-Test” yang menjadi rujukan penulisan mereka walau hanya potong
dan tampal daripada karya-karya orang-orang yang seangkatan dengan
aqidahnya. Mereka dengan mudah melempar tuduhan munafik kepada
tokoh-tokoh Islam yang bermatian menegakkan syariat ALLAH di muka bumi
ini. Imam Ghazali mereka katakan sebagai penyebar “risalah hadith
dhoif”, Imam Nawawi dan Imam Ibnu Hajar Asqalani mereka nisbatkan
sebagai sesat kerana mendokong aqidah ALLAH Subhanahu Wa Taala tidak
bertempat dan arah. [Rujuk : SS Syeikh Muhammad Soleh Al-Uthaimin dalam
Kitab Syeikh Liqa’ pada Bab al-Maftuh 8, yang diselia Dr Abdullah bin
Muhammad bun Ahmad al-Thayyar, Cetakan Dar al-Wathan, Riyadh]

0 Komentar